Friday, January 28, 2011

Kekasih atau Kawan?

Kawan atau kekasih? Yang mana satu menjadi pilihan? Kadang-kadang kita terpaksa berhadapan situasi seperti ini. Mahu tidak mahu, keputusan terbaik perlu dilakukan. Al-kisah…. Perkara ini pun akhirnya cuba menguji aku. Terpaksa memilih, untuk memberikan kepada kawan ataupun kekasih. Suatu hari, ada seseorang telah membuat pengumuman untuk menjual laptop lama miliknya dengan harga RM300. Selepas kelas, aku berjumpa dengan orang tersebut untuk membuat perundingan kerana berminat membeli laptop tersebut untuk diberikan kepada kekasih hati yang memerlukannya. Perundingan telah berjaya dan laptop tersebut sah milik aku. Aku memaklumkan kepada kekasih tentang perkara tersebut. Dia berasa gembira kerana aku begitu mengambil berat akan dirinya. Secara tiba-tiba, aku terserempak dengan seorang kawan karibku. Dia lalu bertanya tentang laptop tersebut. Dia bertanya adakah laptop tersebut sudah dibeli orang kerana dia mahu membelinya. Dia memerlukan laptop tersebut untuk membuat kerja kursus yang banyak. Selama ini dia terpaksa meminjam dan berkongsi laptop kawannya sahaja. Perkara itu menyukarkannya untuk menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan. Aku dengan berat hati memberitahu bahawa aku telah membeli laptop itu untuk diberikan kepada kekasihku. Sahabat ku itu merayu untuk aku menjual kepadanya. Aku menjadi serba salah. Kekasih atau kawan?? Hmm... kekasih tidak memerlukan sangat laptop tersebut tetapi aku sudah berjanji kepadanya. Kawan pula sangat-sangat memerlukan. Kalaulah perkara ini terjadi kepada anda, apakah tindakan anda?? Yang mana satu diutamakan? Kekasih?? Kawan?? Sila berikan pandangan... hehe

Thursday, January 27, 2011

Aku tak kisah, apa nak jadi, jadilah...

Betul kah kita mengambil kisah tentang prubahan iklim dunia? Betulkah kita kisah tentang tahap pencairan ais di kutub utara dan kutub selatan? Betulkah kita kisah tentang ribut yang semakin kerap melanda, banjir yang ganjil, gempa bumi yang semakin mengganas. Betulkah kita kisah?
Ya, saya mengetahui semua itu. Tetapi saya tetap menggunakan beg plastik ketika membeli barangan di supermarket. Apelah sangat 20 sen untuk satu beg plastik. Saya tetap menggunakan elektrik mengikut sesuka hati saya. Saya tetap memasang komputer riba saya walaupun tidak menggunakannya. Saya tetap melakukan pembakaran secara terbuka. Saya tetap membuang sampah dalam satu tong sampah dan tidak mengitar semula bahan seperti kertas. Banyak lagi yang saya lakukan. Saya ambil tahu tentang pemanasan global yang berlaku. Tapi, apa boleh buat. Orang di sekeliling saya pun begitu.
Adakah itu sikap anda. Percayalah, perubahan bermula dari diri anda. Biarlah anda yang menjadi agen kepada perubahan. Apa yang penting, perubahan anda hari ini memberi sinaran harapan kepada generasi akan datang. Selamatkan Bumi Kita. Untuk membaca nukilan saya mengenai alam sekitar, sila klik di sini. Terima kasih.

Kenapa perlu tinggalkan begitu saja?


Penat kaki melangkah mencari kedai makan yang sesuai. Kepenatan melakukan ‘window shopping’ masih terasa. Tatkala menemui restoran ‘Pak Cik’ hati mula gembira. Siapa tidak gembira melihat ketulan ayam yang besar-besar. Untuk setiap hari mengunjungi memang perkara mustahil. Mesti anda tertanya-tanya, apa yang dimaksudkan oleh saya sebagai restoran ‘pak cik’? hehe.. Restoran pak cik merupakan kiasan saya dan rakan-rakan kepada restoran yang memiliki akronim KFC. He. Sebab ada gambar pak cik di sana. 

Bukan tujuan saya untuk menyatakan perkara itu untuk post kali ini. Apa yang ingin saya perkatakan ialah sikap kita sebagai rakyat Malaysia. Selesai menjamah ketulan ayam yang sedap dan kentang yang enak, kita mudah sahaja meninggalkan sisa makanan di atas meja. Perkara ini membuatkan saya berfikir, kenapa harus begitu? Tidak adakah cara lain yang lebih baik untuk kita menamatkan sesi mengisi perut.

Mungkin dalam kalangan kita ada yang berpendapat mengemas meja makan di restoran bukan tugas pelanggan. Pelanggan sudah membayar sejumlah wang untuk membeli makanan tersebut. Mengemas meja adalah tugas pekerja restoran tersebut. Ini mengikut pendapat peribadi masing-masing. 

Pada saya, tidak menjadi kesalahan untuk kita mengemas sendiri meja selepas makan, bahkan perkara itu merupakan yang terbaik. Bukan hanya berlaku di restoran Pak Cik, malah sudah menjadi budaya masyarakat kita untuk meninggalkan pinggan dan gelas diatas meja selepas makan di mana-mana restoran. Mungkin ada yang mahu mengemas pinggan sendiri, namun tidak disediakan tempatnya oleh pengusaha restoran tersebut.

Pada pendapat saya, pengusaha restoran di Malaysia perlu mewujudkan budaya mengemas sendiri meja selepas makan kepada rakyat Malaysia tidak termasuk golongan orang kelainan upaya. Mereka perlu diberi layanan yang istimewa sedikit. Bukan bererti layanan restoran tidak baik, tetapi membudayakan masyarakat untuk sesuatu perkara yang baik. Dengan mewujudkan satu ruangan untuk meletakkan pinggan dan manggkuk serta tempat sisa buangan makanan yang teratur, perkara ini tidak menjadi masalah kepada kita. Sekiranya ada pengusaha restoran yang terbaca artikel ini, saya mengharapkan agar usaha untuk melaksanakan budaya yang positif ini dapat dilakukan. Walaupun kita melihat perkara ini hanya perkara yang remeh dan kecil, sebenarnya perkara yang kecil adalah permulaan untuk sesuatu perubahan yang besar. Umpama Teori Big Bang yang menerangkan penciptaan alam ini, bermulanya dari sekecil zarah yang lebih kecil dari hujung jarum, menjadi luas sehingga tidak terjangkau akal fikiran. Setuju atau tidak, anda sendiri menilainya. 

Pertandingan menulis esei 2011

Sudah sekian lama menanti pertandingan mengarang esei, akhirnya muncul kembali. Tahun lepas terlepas peluang ni. Harap tahun ni berpeluang untuk menyertai. Kepada remaja-remaja di luar sana, ambil peluang ini. Mana tahu rezeki berpihak kepada anda kali ini. Pertandingan esei yang saya maksudkan sini ialah pertandingan esei pengguna 2011. Baru dilancarkan beberapa hari lalu. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web my pengguna. Ini link my pengguna. klik sini

Selamat mencuba dan semoga maju jaya.

Tuesday, January 25, 2011

Verbal dan Non-verbal


Apabila disebut perkatan verbal, pasti ada yang menyangka perkataan verbal ini merujuk kepada komunikasi yang menggunakan percakapan manakala non-verbal pula adalah sebaliknya iaitu komunikasi yang tidak menggunakan percakapan. Dalam bahasa lain ialah lisan dan bukan lisan. Namun begitu, anggapan ini adalah salah kerana maksud sebenar komunikasi verbal ialah komunikasi yang melibatkan perkataan manakala non-verbal adalah komunikasi yang tidak menggunakan perkataan. Komunikasi verbal merangkumi percakapan dan juga penulisan. Contohnya ialah seperti memberi ucapan. Komunikasi tersebut dipanggil verbal kerana ucapan dilakukan menggunakan perkataan daripada bahasa tertentu yang digunakan. Begitu juga dengan penulisan. Penulisan yang dilakukan menggunakan perkataan mengikut bahasa yang telah dipilih. Komunikasi no- verbal pula adalah seperti isyarat dan gambar. Apabila kita melihat lampu trafik bewarna merah menyala, kita akan memberhentikan kenderaan dengan segera kerana kita memahami maksud warna merah tersebut ialah berhenti. Begitu juga dengan gambar-gambar yang ditunjukkan. Kita akan bertindak mengikut kefahaman kita yang tidak melibatkan apa-apa perkataan dalam gambar.

Pengenalan


Sudah sekian lama saya berniat ingin menghasilkan sebuah blog. Seringkali usaha itu terbantut kerana kesibukan kerja. Kini, hasrat untuk menjadi penulis blog tercapai. Blog ini akan menjadi platform untuk saya menyatakan perkara-perkara yang bermain difikiran saya selama ini. Tidak hanya tertumpu kepada sesuatu perkara, saya akan menulis apa sahaja yang terlintas difikiran. Perkara-perkara ini mungkin berkisar dengan apa yang pernah dialami, yang selalu diamati dan yang sentiasa bermain difikiran. Semoga apa yang saya coretkan di laman ini boleh memberi manfaat kepada kita semua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...