Thursday, January 27, 2011

Kenapa perlu tinggalkan begitu saja?


Penat kaki melangkah mencari kedai makan yang sesuai. Kepenatan melakukan ‘window shopping’ masih terasa. Tatkala menemui restoran ‘Pak Cik’ hati mula gembira. Siapa tidak gembira melihat ketulan ayam yang besar-besar. Untuk setiap hari mengunjungi memang perkara mustahil. Mesti anda tertanya-tanya, apa yang dimaksudkan oleh saya sebagai restoran ‘pak cik’? hehe.. Restoran pak cik merupakan kiasan saya dan rakan-rakan kepada restoran yang memiliki akronim KFC. He. Sebab ada gambar pak cik di sana. 

Bukan tujuan saya untuk menyatakan perkara itu untuk post kali ini. Apa yang ingin saya perkatakan ialah sikap kita sebagai rakyat Malaysia. Selesai menjamah ketulan ayam yang sedap dan kentang yang enak, kita mudah sahaja meninggalkan sisa makanan di atas meja. Perkara ini membuatkan saya berfikir, kenapa harus begitu? Tidak adakah cara lain yang lebih baik untuk kita menamatkan sesi mengisi perut.

Mungkin dalam kalangan kita ada yang berpendapat mengemas meja makan di restoran bukan tugas pelanggan. Pelanggan sudah membayar sejumlah wang untuk membeli makanan tersebut. Mengemas meja adalah tugas pekerja restoran tersebut. Ini mengikut pendapat peribadi masing-masing. 

Pada saya, tidak menjadi kesalahan untuk kita mengemas sendiri meja selepas makan, bahkan perkara itu merupakan yang terbaik. Bukan hanya berlaku di restoran Pak Cik, malah sudah menjadi budaya masyarakat kita untuk meninggalkan pinggan dan gelas diatas meja selepas makan di mana-mana restoran. Mungkin ada yang mahu mengemas pinggan sendiri, namun tidak disediakan tempatnya oleh pengusaha restoran tersebut.

Pada pendapat saya, pengusaha restoran di Malaysia perlu mewujudkan budaya mengemas sendiri meja selepas makan kepada rakyat Malaysia tidak termasuk golongan orang kelainan upaya. Mereka perlu diberi layanan yang istimewa sedikit. Bukan bererti layanan restoran tidak baik, tetapi membudayakan masyarakat untuk sesuatu perkara yang baik. Dengan mewujudkan satu ruangan untuk meletakkan pinggan dan manggkuk serta tempat sisa buangan makanan yang teratur, perkara ini tidak menjadi masalah kepada kita. Sekiranya ada pengusaha restoran yang terbaca artikel ini, saya mengharapkan agar usaha untuk melaksanakan budaya yang positif ini dapat dilakukan. Walaupun kita melihat perkara ini hanya perkara yang remeh dan kecil, sebenarnya perkara yang kecil adalah permulaan untuk sesuatu perubahan yang besar. Umpama Teori Big Bang yang menerangkan penciptaan alam ini, bermulanya dari sekecil zarah yang lebih kecil dari hujung jarum, menjadi luas sehingga tidak terjangkau akal fikiran. Setuju atau tidak, anda sendiri menilainya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...